Thursday 9 February 2012


Hampir semua orang bersetuju bahawa mereka perlu menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka. Tetapi ramai yang gagal untuk melakukannya. Mereka fikir bahawa kadar penyaraan hidup adalah terlalu tinggi, banyak bil yang perlu dijelaskan, terlalu banyak barangan yang perlu dibeli. Memang ada kebenarannya. Tetapi pada hakikatnya, walau siapa pun anda atau sebanyak mana sekali pun pendapatan, anda masih boleh menabung. Kemudian barulah anda boleh memutuskan sebanyak mana anda boleh ketepikan daripada pendapatan anda.
Ramai yang mempercayai bahawa sekiranya mereka tidak dapat menyimpan dengan banyak, maka mereka tidak perlu menyimpan. Mereka terlepas pandang fakta bahawa sekecil mana sekalipun jumlah yang disimpan dengan tetap, akan bertambah dalam jangka masa yang panjang. Seandainya anda menyimpan hanya lima peratus daripada pendapatan anda, maka jumlah yang tersimpan adalah sama dengan jumlah gaji penuh setahun dalam masa kurang daripada 20 tahun (malah beberapa tahun lebih kurang jika diambil kira jumlah faedah yang terkumpul dalam akaun simpanan anda). Ia kelihatan seperti suatu masa yang panjang, tetapi harus diingat bahawa kita memperkatakan tentang pendapatan penuh setahun! Oleh itu berapakah pula masa yang dikurangkan sekiranya anda menabung RM1,000 atau RM500?
Sebagai perbandingan, apakah yang anda boleh tunjukkan bagi wang yang anda tidak simpan itu? Cuba renungkan pada beberapa tahun kebelakangan dan tanya diri anda sendiri, apakah kerugian yang anda alami sewaktu menyimpan lima atau sepuluh peratus daripada pendapatan anda itu. Adakah ia terlalu ketara atau adakah ia menguntungkan? Adakah ia mendatangkan kepuasan sepertimana yang anda rasai sewaktu mengetahui jumlah wang yang terkumpul sehingga kini? Sudah tentu tidak.
Untuk menghilangkan tabiat berbelanja boros memerlukan kekuatan diri. Tetapi apabila jumlah simpanan anda bertambah, sedikit demi sedikit, ia akan menjadi lebih mudah. Malah, ia akhirnya menjadi suatu kenikmatan. Dan, sementara jumlah simpanan anda kian bertambah, anda juga akan menerima kadar kaedah yang membantu menambahkan jumlah simpanan anda dengan lebih cepat.
Bukankah benar bahawa segala apa yang anda benar-benar mahukan boleh diperolehi daripada simpanan anda? Luangkan masa seketika dan senaraikan dalam fikiran anda barangan atau perkara-perkara yang bernilai dan sesuai untuk disimpan. Adakah masuk akal sekiranya anda impikan untuk mendapat ganjaran dari mana-mana, atau mewarisi harta, ataupun daripada sumber-sumber kekayaan sekelip mata? Sudah tentu tidak. Anda tahu apa yang anda harus lakukan – mulakan menabung.
FORMULA UNTUK MENYIMPAN WANG
Formulanya adalah daripada lima patah perkataan – “BAYAR DIRI ANDA TERLEBIH DAHULU”. Sebelum anda membayar sewa kepada tuanpunya rumah atau peruncit atau sesiapa sahaja, pastikan anda BAYAR DIRI ANDA TERLEBIH DAHULU.
Teorinya cukup mudah. Jika anda cuba menyimpan daripada baki yang tinggal selepas membayar semua bil dan keperluan lain, anda tidak akan dapat menyimpan untuk diri anda. Jika sebaliknya, anda membayar diri anda terlebih dahulu, anda akan menjadi sedikit kaya setiap bulan, dan anda masih boleh menjelaskan pembayaran bagi segala keperluan yang mustahak daripada baki pendapatan anda (walaupun anda perlu lebih teliti mentadbirkan kewangan anda).
Jika anda tidak percaya ianya boleh dilakukan, pertimbangkanlah perkara berikut. Andaikan bahawa pihak kerajaan menaikkan cukai pendapatan bagi semua orang sehingga sepuluh peratus. Tiada siapa pun menyukainya, tetapi semua orang akan mendapati pendapatan mereka dikurangkan mengikut kadar potongan cukai yang baru itu. Selepas beberapa waktu penyesuaian, anda boleh menyelaraskan perbelanjaan anda mengikut jumlah pendapatan anda yang sedikit berkurangan itu. Anda terpaksa melakukannya kerana kemampuan anda sudah berkurangan.
Begitu juga dengan membayar diri anda terlebih dahulu. Formulanya sama. Jika anda mengetepikan sejumlah wang untuk akaun simpanan sebelum sesen pun dibelanjakan, bermakna anda membuat ‘pemotongan pendapatan’ anda sendiri. Akhirnya anda akan menyesuaikan penyaraan diri anda mengikut jumlah yang boleh dibelanjakan. Cubalah dengan sepuluh peratus daripada pendapatan anda – atau dengan hanya lima peratus. Anda akan terperanjat apabila mengethui bahawa menyimpan wang tidak akan menurunkan taraf hidup anda. Malah secara keseluruhan, ia akan mempertingkatkan kehidupan. Anda tidak akan jatuh miskin dengan menyimpan wang.
CARA-CARA UNTUK MEMULAKAN AKAUN SIMPANAN
Di sini ada beberapa idea yang boleh membantu anda menabung. Cara-cara ini telah berkesan untuk semua orang. Jangan cuba kesemuanya.
1. Daripada pertukaran wang anda seharian, simpanlah syiling-syiling pada kadar tertentu, seperti syiling sepuluh sen, syiling dua puluh sen, atau syiling lima puluh sen. Letakkan syiling-syiling tersebut ke dalam tabung. Anda tidak rasa kehilangannya, malah anda akan terperanjat apabila melihat begitu cepatnya ia bertambah.
2. Daripada hanya menyimpan syiling-syiling mengikut kadar tertentu, lebih baik anda menyimpan semua syiling pertukaran wang anda setiap hari.
3. Selepas anda membayar ansuran terakhir kereta anda ataupun pinjaman-pinjaman yang lain, tambahkan jumlah yang sama ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan yang mendatang. Anda sudah pun mempunyai tabiat mengetepikan jumlah tersebut setiap bulan, oleh itu teruskanlah dengan membuat pembayaran pada diri anda sendiri.
4. Jika anda mendapat pulangan cukai pendapatan, masukkanlah ia ke dalam akaun simpanan.
5. Jika anda menerima bonus, gunakanlah ia untuk membuka akaun simpanan atau untuk membesarkan jumlah akaun yang sedia ada.
6. Simpanlah wang pendapatan kerja lebih masa anda daripada membelanjakannya.
7. Jika anda dinaikkan gaji, simpanlah ia. Sebelum ini pun anda sudah biasa tanpa wang tambahan tersebut.
8. Simpanlah ke dalam akaun simpanan anda segala wang yang diterima sempena hari jadi, sewaktu menyambut hari perayaan atau sambutan-sambutan tertentu.

9. Pastikan wang anda bekerja untuk anda. Carumkanlah wang-wang yang berlebihan secepat mungkin ke akaun simpanan.
10. Amalkan program jangka-pendek ‘hidup sederhana’ dimana ketika itu anda menyimpan sebanyak mungkin. Jangan membeli sekiranya tidak perlu. Elak daripada pergi menonton, makan luar, atau perbelanjaan untuk segala bentuk hiburan.
ANDA TIDAK AKAN RUGI WALAU APA CARA SEKALI PUN
Menabung bukan sahaja membuat anda lebih kaya, malah anda juga akan mendapat ketenangan jiwa kerana kewangan anda kukuh. Anda akan lebih menghormati diri sendiri. Anda akan dapati bahawa corak kehidupan anda akan menjadi lebih teratur. Dan pastinya anda sedang menuju ke arah kejayaan kewangan.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KEJAYAAN KEWANGAN?

Kejayaan kewangan adalah mudah. Ia adalah keupayaan untuk mengumpul wang dan menerima pulangan daripada apa yang anda simpan. Apa yang anda belanjakan atau berapa banyak pendapatan anda bukannya penentu bagi kejayaan kewangan anda. Yang menentukannya ialah berapa banyak anda menyimpan!
BAGAIMANAKAH ANDA MENCAPAI KEJAYAAN KEWANGAN?
Pertamanya, ambillah suatu inventori untuk mengenalpasti kedudukan kewangan anda. Berapakah pendapatan anda? Ke mana perginya wang anda? Berapa banyak hutang anda? Berapa banyak simpanan anda? Dengan cara ini sahaja anda boleh mengenalpasti kedudukan kewangan anda yang sebenar.
Kedua, buat satu matlamat. Tentukan jumlah wang yang anda mahu dan bila anda mahu mencapai matlamat tersebut. Misalnya, katakanlah anda mahu memilik RM5,000 disimpan dalam masa lima tahun. Tulis matlamat anda ini. Kini anda telah mempunyai objektif yang tertentu.
Selepas anda mencipta matlamat itu, gunakan sebarang cara dalam penguasaan anda untuk mencapainya. Sambil anda beusaha ke arah matlamat itu, anda akan menerima perasaan keseronokan dan kepuasan di atas kerja yang anda lakukan. Anda akan mentadbir segala hal ehwal anda sendiri. Anda telah memiliki perasaan kebebasan yang tiada sesiapa pun boleh mengambilnya dari anda.
Kebanyakan orang berkata bahawa mereka mendapati sukar untuk menyimpan wang kerana terlalu banyak tempat di mana mereka terpaksa membelanjakannya. Jika mereka mahu, orang-orang seperti ini juga boleh menyimpan. Apa yang lebih penting ialah keinginan membara untuk beroleh kejayaan dengan kewangan anda. Anda perlu memutuskan untuk menyimpan lebih daripada membelanjakan.
UNTUK MENYIMPAN DENGAN LEBIH BAIK, ANDA JUGA PERLU BERBELANJA DENGAN BAIK
Orang yang telah mempelajari rahsia menabung selalunya juga mempelajari cara berbelanja dengan lebih baik. Mereka berusaha dengan pelan pentadbiran kewangan yang tetap, yang boleh mengawal segala perbelanjaan, yang juga membuat setiap ringgit bermatlamat. Jika idea-idea ini tidak boleh anda turuti – jika, selepas membayar diri anda terlebih dahulu, anda masih mempunyai hutang dan terpaksa pula meminjam sebanyak mana yang anda telah simpan – maka anda harus pergi kepada pelan dasar kewangan. Anda akan dapati bahawa anda mempunyai terlalu banyak pembocoran dalam belanjawan anda yang boleh ditampal supaya anda tidak lagi sekerap mungkin memerlukan wang simpanan anda.
IA BOLEH DILAKUKAN!
Orang lain telah melakukannya. Anda juga boleh berbuat demikian! Jika anda benar-benar berhasrat untuk berjaya dalam menabung, anda akan melakukannya.
Buat Duit Dengan YouTube
http://www.usahawan.com/wp-content/uploads/2011/09/youtubemoney.jpg
Tahukah anda bahawa ramai yang telah berjaya menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit dengan hanya memulakan sesuatu yang kreatif dan memuat naik hasil karya mereka di YouTube? Apabila kita menyebut tentang kreativiti, peluang untuk berkarya adalah sangat luas kerana tahap dan bentuk kreativiti antara seoarng individu dengan yang lain adalah berbeza. Peluang untuk berkarya dan memaparkan kreativiti anda di internet adalah bak kata pepatah “Tak terjangkau dek akal” atau “Bak dalam dan luasnya lautan yang tak bertepi”. Cuba bayangkan berapa ramai penduduk di seluruh dunia yang mempunyai komputer dan kemudahan internet di rumah ataupun di tempat awam yang berdekatan dengan mereka.
Jumlah penduduk dunia setakat bulan Julai 2011 ialah 6.97 bilion seperti yang dilaporkan oleh United States Census Bureau. Statistik yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan YouTube pula menunjukkan bahawa setakat bulan May 2011,YouTube telah merekodkan kekerapan tontonan sebanyak lebih 3 bilion dalam satu hari! Satu jumlah yang amat besar. 99% daripada tontonan tersebut adalah merujuk kepada tontonan video yang dimuat naik oleh sesiapa sahaja ke lamanYouTube.
Mengikut statistik ini, peluang untuk seseorang menjana pendapatan melalui laman webYouTube amatlah besar. Tetapi anda perlu ingat beberapa perkara penting sebelum memulakan niat anda untuk memaparkan video anda di lamanYouTube. Anda perlu ingat bahawa anda akan dibayar oleh YouTube setelah anda diterima menjadi rakan kongsiYouTube (YouTube Partner). Awas! YouTube tidak akan membayar anda jika kandungan video atau fail bukan dihasilkan oleh anda sendiri. Jika ia adalah hasil kerja orang lain, anda perlu menunjukkan bukti kepada YouTubekebenaran telah diberikan kepada anda oleh pemilik fail atau video tersebut. Jika video atau fail anda mengandungi gambar orang lain, anda juga perlu mendapat kebenaran untuk memaparkannya di laman YouTube. Suatu video atau fail tidak boleh mengandungi gambar yang tidak sesuai bagi tontonan kanak-kanak.
Satu contoh yang boleh anda ambil ialah mengenai Justin Bieber yang sekarang ini tersohor kerana video nyanyiannya yang dipaparkan di YouTube. Justin Bieber sebenarnya tidak menjana pendapatan dari YouTube tetapi menggunakanYouTube hanya sebagai landasan untuk menempah nama di dunia muzik dan hiburan. Ini adalah kerana video yang beliau hasilkan mengandungi lagu yang sedia ada tetapi beliau sebenarnya tidak mendapat kebenaran untuk menyiarkannnya di YouTube.
Langkah-langkah yang perlu untuk memulakan usaha anda menjana wang melalui YouTube:
Langkah 1: Hasilkan video yang menarik !
Anda perlu mempunyai perakam video yang bagus supaya kualiti video yang anda rakam dapat dihasilkan dengan baik. Ide yang kreatif akan menjadikan video anda kerap ditonton. Kebanyakan orang akan merekod aksi dan gelagat binatang kesayanagn kerana mreka tidak perlu meminta kebenaran untuk menyiarkan video tersebut di laman YouTube.Anda perlu ingat, tanpa kebenaran YouTube tidak akan memasukkan video anda ke dalam program untuk menjana pendapatan daripada iklan-iklan. Selepas rakaman, anda perlu membuat suntingan supaya tempoh video yang siap tidak terlalu panjang. Pada kebiasaannya, tempoh video yang selalu di muat naik ke YouTube adalah tidak melebihi 4 minit. Anda juga perlu berhati-hati dengan proses memasukkan audio supaya suara atau muzik latar dan gambar yang dipaparkan adalah seiring.
Langkah 2: Cipta nama yang canggih dan mudah diingati
Sementara menunggu video anda dipaparkan, carilah nama yang mudah diingati serta menarik untuk diberikan kepada video hasil kerja anda. Selalunya nama akan diberi selari dengan kandungan atau jalan cerita video anda. Contoh nama yang masyhur di YouTube ialah “Sneezing Panda” yang merakamkan aksi dan gelagat seekor beruang Panda sedang bersin.
Langkah 3: Ulang langkah 1 dan langkah 2
Jika anda mahu berjaya seperti rakan kongsi YouTubePhilipDeFranco dan lain-lain, anda perlu rajin dan tahu bagaimana anda boleh menyebarkan dan membuat pemasaran tentang video anda supaya ramai yang layari YouTubeuntuk menonton video anda. Anda boleh memasarkannya di Facebook, forum dan laman web yang lain.
Jika anda ingin menjadi rakan kongsi YouTube, anda mesti sentiasa memuat naik video yang ditonton oleh ramai pelanggan YouTube. Jangan putus asa. Teruskan merakam dan teruskan usaha untuk membuat sebaran dan pemasaran.
Langkah 4: Semak emel anda !
Pihak YouTube akan menghubungi anda melalui emel jika video anda mendapat sambutan ramai. YouTube akan mengundang anda untuk membuat permohonan berkongsi pendapatan untuk video anda yang dipilih oleh YouTube. Apabila kelulusan diberi, anda akan mula menjana pendapatan untuk video yang terpilih itu.
Langkah 5: Membuat permohonan melalui program rakan kongsi YouTube
Jika anda sudah mempunyai jumlah video yang dimuat naik dan ditonton yang mencukupi mengikut kiraan pihakYoutube, anda boleh membuat permohonan secara langsung untuk menjadi rakan kongsi di bawah program rakan kongsi YouTube. Apabila pihak YouTube meluluskan permohonan anda, perkongsian pendapatan daripada paparan semua video anda akan bermula. Proses perkongsian pendapatan akan berterusan selagi video anda tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Anda juga boleh menambah pendapatan dengan menyewa video anda kepada golongan yang berminat.
Langkah 5: Mulakan proses permohonan
Anda harus membaca dokumen panduan tentang program rakan kongsi YouTube. Pastikan anda tidak melanggar mana-mana syarat dan undang-undang yang ditetapkan.
Anda tidak akan dibenarkan membuat permohonan seterusnya selama 2 bulan jika YouTube tidak meluluskan permohonan anda.
Langkah 6: Buka akaun dengan Google AdSense
Setelah anda sudah menyemak dan betul-betul faham akan syarat dan undang-undang tersebut, anda perlukan akaun di dalam Google AdSense untuk menghubungkan akaun YouTube anda. Hubungan inilah yang akan membolehkan bayaran dikira dan dibuat kepada anda terhadap video yang terpilih.
Walaubagaimanapun, wang yang anda boleh keluarkan daripada akaun anda ialah apabila akaun anda sudah mempunyai baki lebih daripada USD$100. Oleh itu, jika lebih banyak video yang menarik anda paparkan dan lebih banyak ditonton orang, lebih banyak bayaran yang akan terima bagi membolehkan anda membuat penegeluaran.
Langkah 7: Tempoh menunggu untuk YouTube memproses permohonan
YouTube akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minggu untuk menilai dan menentukan samada video anda akan diterima atau tidak. Anda tidak perlu membuat apa-apa selama waktu ini atau jika anda tidak mahu membuang masa, anda boleh juga terus berkarya! Siapkan rakaman video seterusnya.
Langkah 8 : Mulalah buat duit !
Sebaik sahaja permohonan anda diluluskan, anda akan dibenarkan menayangkan segala iklan yang keluar dibahagian bawah video anda. Terdapat juga iklan banner yang muncul dibahagian tepi video atau sesetengah iklan yang akan dimasukkan secara pantas dibahagian hadapan video anda sebagai pengenalan dan sebagainya.
Langkah 9: Ulang langkah 1
Jika permohonan anda tidak diluluskan, anda bermungkinan besar tidak mengikut salah satu langkah yang disebutkan di atas. Oleh kerana anda akan diberi tempoh selama 2 bulan sebelum permohonan baru boleh dikemukakan kepada pihak YouTube, anda dinasihatkan supaya mengulangi langkah-langkah tersebut dengan lebih teliti. Undang-undang dan syarat-syarat yang dikenakan mestilah diikuti dengan betul.
Ramai yang berjaya menjana pendapatan di YouTube adalah mereka yang rajin dan teliti serta patuh kepada langkah-langkah yang diberi.
Jika anda mendapat lebih dari 5 juta komen atau 20 juta tontonan dalam masa satu bulan, pihak Google Adsense akan menghantar jemputan khas kepada anda untuk menjadi salah seorang rakan di dalam program Premium Publisher. Program ini adalah program khas dan ianya akan dibuka kepada sesiapa yang layak atas jemputan khas sahaja.
Cara tersebut yang dibincang secara terperinci adalah bagaimana anda menjana pendapatan melalui YouTube dan menjadi rakan kongsi YouTube. Ada beberapa cara lain yang juga dikaitkan dengan menjana pendapatan di YouTubeyang anda boleh mulakan. Antara lain ialah membuat wang dengan menyertai program Affiliate contohnya Affiliate Clickbank atau Affilliate tempatan.
Affiliate Clickbank adalah organisasi yang menjadi pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan program Affiliateberpusat atau gedung bagi pemasaran sesuatu produk atau perkhidmatan sesuatu syarikat atau individu yang menggunakan perkhidmatan mereka. Anda boleh menyertai program Affiliate Clickbank secara percuma dan anda akan dikenakan yuran yang tertentu apabila produk atau khidmat anda dilanggani. Affiliate Clickbank merupakan pusat yang akan menguruskan segala transaksi dari segi pengiklanan sehinggalah membuat pembayaran kepada anda.
Anda boleh mencuba untuk menyertai program Affiliate tempatan. Kaedah yang digunakan adalah sama seperti kaedah yang digunakan oleh program Affiliate clickbank tetapi sesuai dengan namanya, program Affiliate tempatan hanya akan membolehkan transaksi sekitar dalam negara sahaja. Oleh itu peluang untuk anda membuat duit melalui kaedah ini adalah terhad kepada pasaran tempatan sahaja. Jika anda seorang yang baru hendak bermula, cara ini mungkin boleh anda sertai sebagai landasan sebelum melonjak ke tahap yang lebih jauh seperti menempah nama di persada antarabangsa!
Salah satu lagi cara untuk menjana pendapatan melalui YouTube ialah dengan cara memuat naik video atau membuat hubungan dengan video yang dipaparkan di YouTube ke laman web atau blog anda sendiri. Anda harus bijak menilai video yang hendak dihubungkaitkan dengan blog atau laman web anda. Cara ini boleh anda gunakan jika anda memang mempunyai produk atau perkhidmatan yang ingin anda jual samada di dalam negara mahupun ke pasaran luar negara. Apabila anda meletakkan video yang memang mendapat tontonan yang banyak di YouTube, dengan secara tidak langsung laman web atau blog anda akan dapat dijejaki oleh penonton dan sekaligus akan menarik perhatian mereka kepada produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan. Dalam erti kata lain, video-video yang mendapat tontonan yang banyak di YouTube ini menjadi satu cara pengiklanan yang anda aplikasikan di laman web atau blog perniagaan anda. Walaubagaimanapun, anda perlu membuat penilaian yang betul sebelum meletakkan video-video tersebut dilaman web atau blog anda supaya ianya bersesuaian dengan tema atau jenis produk yang anda jual. Jika sebaliknya, penonton atau bakal pelanggan akan menjadi keliru dan tidak dapat memahami bahawa tujuan anda sebenarnya adalah untuk menjual produk anda bukannya untuk memaparkan video tersebut semata-mata.
Kesimpulannya, walau apa cara sekalipun yang akan anda cuba untuk membuat duit di YouTube atau melalui YouTube,anda harus tahu matlamat sendiri dan perlu kreatif dalam menghasilkan apa jua produk, video atau perkhidmatan. Peluang yang terbentang luas perlu direnangi dengan bijak supaya anda tidak terus tenggelam di dasar.

Teknik Langsai Hutang Pinjaman Perniagaan

http://www.usahawan.com/wp-content/uploads/2011/06/langsaihutang-150x150.jpg
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan hutang. Terdapat pelbagai jenis hutang, ia boleh berupa hutang budi, hutang barang dan hutang wang. Sehingga ada pepatah Melayu yang menyebut, “Hutang budi dibawa mati”. Begitulah besar kesan hutang dalam kehidupan kita. Manakala hutang wang pula bermaksud wang milik orang lain atau badan lain yang telah dipersetujui lalu dipinjamkan kepada kita. Apabila ia milik orang lain, maka ia harus dikembalikan semula mengikut janji yang telah ditetapkan. Wang yang telah kita gunakan itu wajib dibayar semula.
Setiap usahawan yang berjaya pernah menghadapi hidup yang amat sukar. Sehingga membuat pinjaman daripada pelbagai agensi atau bank. Berkat kesabaran dan usaha yang tidak putus telah membuktikan mereka berjaya melarikan diri dari beban hutang dan mampu menjalani hidup dengan senang. Kerana kejayaan itu tidak datang dengan mudah. Ia harus disertakan dengan usaha dan kekuatan diri yang paling tinggi. Tetapi masih ramai juga yang gagal membayar hutang. Perkara ini mungkin disebabkan beberapa faktor dalaman diri si pemiutang itu sendiri. Mereka gagal untuk mengubah hidup dan tidak berani menyahut cabaran.
Banyak cara dan teknik yang dilakukan ramai orang untuk membayar hutang yang telah dibuat. Walau bagaimanapun, cara dan teknik ini tidak akan berkesan jika tiada kesedaran dalam diri si pemiutang itu sendiri. Sekiranya kita liat untuk membayar hutang, hidup kita akan dibayangi perasaan tidak senang dan hidup sentiasa diburu kekesalan. Apabila semua hutang perniagaan telah dilangsaikan, kita mempunyai potensi untuk terus mengembangkan perniagaan kerana tidak perlu membayar hutang lagi. Keuntungan yang kita dapat adalah keuntungan bersih. Nama kita juga akan bersih dan tiada lagi pihak yang cuba menikam kita dari belakang kerana hutang yang belum dilunaskan. Selain itu, kita juga tiada musuh, kerana hutang yang belum dibayar menjadi punca kita dibenci orang lain. Agensi yang pernah memberikan kita pembiayaan suatu ketika dahulu berani memberi kita membuat pinjaman lagi kerana hutang lama telah dilangsaikan. Kita juga akan menambah bilangan kawan dan ramai pelabur yang berani melabur kerana rekod kita yang telah bersih daripada hutang. Mari kita pelajari beberapa teknik melangsaikan hutang perniagaan
Berfikiran positif, motivasi diri dan berdisiplin
Nilai-nilai ini mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam membantu kita melunaskan hutang. Katakan kita membuat pinjaman daripada MARA, Majlis Amanah Rakyat sebanyak RM 5000.00 untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan membeli sebuah mesin jahit industri yang kita gunakan untuk menerima tempahan jahit baju dari rumah. Berfikiran positif mampu membuka minda kita untuk melakukan pelbagai pekerjaan yang telah kita rancangkan. Duit hasil tempahan jahit baju secara kecil-kecilan itu boleh kita simpan untuk membayar hutang yang telah dibuat. Motivasi dalam diri sangat mempengaruhi pembayaran hutang. Berfikiran positif dan motivasi perlu disertai dengan disiplin juga. Jika kita tidak disiplin, hutang yang dibuat gagal dibayar. Disiplinkan diri dengan menetapkan bahawa hutang mesti dibayar setiap bulan sehingga habis.
Berusaha dengan lebih gigih
Selain itu, kita mesti berusaha dengan lebih gigih untuk membayar hutang yang dibuat. Hutang perniagaan mempunyai tempoh bagi pembayaran balik. Tetapi, jika cepat kita membayarnya adalah lebih baik. Jika tidak, kita hanya mampu bekerja dengan lebih gigih untuk membayar hutang. Contohnya, dengan memiliki mesin jahit yang telah diberi, kita boleh menerima tempahan menjahit dengan lebih banyak. Hasil kerja yang memuaskan akan menyebabkan pelanggan akan datang lagi kepada kita. Katakan kita hanya memulakan bidang ini secara sambilan sahaja, selepas pulang dari tempat kerja kita boleh sambung menjahit baju apabila tiba di rumah. Semua orang mempunyai komitmen masing-masing, mungkin mahu memasak untuk keluarga, menguruskan anak-anak, atau mengemas rumah. Tetapi jika mahu berjaya kita mesti berusaha untuk mendapatkannya. Azam yang tinggi tidak menjadikan sebarang alasan sebagai batu penghalang untuk berjaya. Jadikan minat terhadap bidang yang diceburi sesuatu yang menyeronokan sehingga kita tidak merasa jemu melakukannya.
Bayar hutang walau dalam jumlah yang kecil
Teknik yang seterusnya adalah bayar hutang walau dalam jumlah yang kecil. Semua orang sedia maklum jika pembabitan awal dalam dunia perniagaan tidak menjanjikan pulangan yang lumayan. Cukup sekadar mampu melabur untuk pusingan modal yang berikutnya sahaja. Oleh sebab faktor itu, wang yang diterima perlu disimpan dan dibuat bayaran balik. Kita mesti tetapkan jumlah hutang yang boleh kita bayar di awal tempoh pinjaman itu. Mungkin pada bulan pertama kita membayar sebanyak RM 100.00 sahaja. Apabila permintaan semakin meningkat, wang yang diterima juga semakin banyak, tidak salah kita kita membayar dalam jumlah yang banyak. Jika tidak, hutang yang dibuat lambat dilunaskan. Bayar sedikit demi sedikit, lama kelamaan jumlah wang itu akan susut dan habis. Katakan pula kita membayar sebanyak RM 150.00 sebulan dan lakukannya secara konsisten. Sehelai baju kurung boleh disiapkan dalam masa satu hari, dan upah menyiapkannya sekitar RM32 sepasang. Jadi, sebulan kita mampu meraih pendapatan sampingan sebanyak RM 960.00 dengan hanya menjahit baju dari rumah. Tetapkan pula untuk membayar sebanyak RM300.00 sebulan, selama 16 bulan hutang itu akan langsai.
Hutang yang paling kecil perlu dibayar dahulu
Dengan teknik ini, jumlah semua hutang perlu dikumpulkan sebagai kiraan besar. Kemudian mula membayar hutang bermula dengan nilai yang paling kecil. Katakan semua hutang berjumlah RM 20000.00. RM 15000.00 baru sahaja dipinjam untuk membuka sebuah kedai menjahit. Baki RM5000.00 adalah pinjaman awal membeli sebuah mesin jahit industri. Setelah setahun menjahit di rumah, timbul keinginan untuk membuka kedai dan mahu menjadikannya sebagai pendapatan sepenuh masa pula. Jumlah yang perlu dibayar dahulu adalah pinjaman RM 5000.00. Apabila hutang itu berjaya dilangsaikan, pinjaman RM 20000.00 pula perlu dibayar. Jadi, kita akan nampak kesannya apabila membayar hutang ini walaupun bermula dengan nilai yang kecil. Perjanjian bayaran balik perlu dipatuhi, contohnya apabila menjadikan bidang ini pekerjaan sepenuh masa kita perlu membayar sehingga RM 450.00 sebulan. Jumlah ini adalah jumlah yang telah dipersetujui semasa memohon pembiayaan dahulu.
Jangan libatkan Ahlong
Sanggupkah anda melihat keluarga sendiri sengsara akibat diburu lintah darat? Kerana, hutang yang dipinjam perlu dibayar berkali ganda. Silap-silap nyawa sendiri yang akan melayang. Pinjaman dengan lintah darat sangat mudah diluluskan walau dalam jumlah yang banyak. Lintah darat bukan sahaja memburu si pemuitang, sebaliknya cuba mengapa-apakan ahli keluarga yang terdekat. Berhubungan dengan lintah darat adalah cara yang hanya mengundang masalah. Hanya golongan yang pendek akal sahaja akan membuat pinjaman daripada lintah darat untuk membayar hutang. Dalam ayat yang paling singkat, jangan mengadakan sebarang hubungan dengan lintah darat. Kelak, diri sendiri yang susah.
Kesimpulan
Semua masalah akan selesai sebaik sahaja kita selesai membayar hutang. Selepas itu, kita mampu menarik nafas lega dan mampu hidup dengan senang. Kita juga boleh menjadi seorang menjadi usahawan yang berjaya. Perniagaan kecil sudah boleh diperbesarkan dan sudah mampu untuk mengupah pekerja. Tetapi teknik ini perlu dipatuhi jika tidak mahu dibelenggu hutang. Jika mahu meluaskan lagi perniagaan yang ada, pemohonan pembiayaan boleh dipohon lagi kerana hutang lama sudah dibayar dan rekod kita juga bersih darinya. Kita juga sudah mampu membeli sedikit aset seperti kereta dan rumah. Kesimpulanya, teknik-teknik melangsaikan hutang pinjaman perniagaan ini bermula dari dalam diri kita sendiri. Kekuatan fizikal dan mental diperlukan bagi merealisasikan impian ini.

Rahsia Memperoleh Keberkatan & Dimurahkan Rezeki
http://www.usahawan.com/wp-content/uploads/2011/07/rezeki-150x150.jpg
Rahsia kejayaan seseorang itu adalah usaha keras dan mempunyai semangat yang tinggi. Cuba untuk bangun seawal waktu pagi untuk pergi ke tempat kerja. Kerana masa sangat berharga dalam hidup dan gunakan ia sebaik-baiknya agar semua impian dan cita-cita tercapai. Pendek kata, kita diseru untuk mencari ilmu sebanyak yang termampu dengan harapan agar ilmu itu kita manfaatkan seadanya.
Sekiranya kita tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur, kita disarankan untuk keluar bekerja awal pagi agar tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Adakah anda pernah memikirkan tentang hal ini? Jika ya, anda adalah seorang yang peka dan mengambil berat akan hal sekeliling. Selain itu, keluar seawal pagi juga dapat mengelakkan kita tiba lewat di tempat kerja. Maka, hal ini akan mendorong diri untuk memandu laju walau dalam keadaan yang tidak mengizinkan. Sekiranya mahu tiba awal ke tempat kerja, kita perlu keluar awal juga. Contohnya Puan Aisyah yang keluar rumah seawal pukul 7.00 pagi dengan memandu kereta. Dia akan tiba ke tempat kerja pukul 8.00 pagi. Puan Aishah mempunyai 30 minit sebelum waktu kerja bermula. Jadi semua urusan Puan Aishah akan lancar dan teratur. Penampilannya juga akan kemas dan dia mempunyai keyakinan untuk meneruskan pekerjaan.
Kemudian, jika kita menaiki kenderaan awam dan tidak suka dengan keadaan kesesakan yang terpaksa dihadapai sebelum orang ramai mula keluar, kita harus keluar lebih awal dari orang lain. Maka, kita dapat sedikit rehat dan boleh duduk di dalam bas atau komuter dan tidak perlu berebut dengan orang lain. Setidak-tidaknya kita tidak perlu berdiri sehingga sampai ke tempat kerja. Sebagai contoh Ainah adalah seorang guru di Petaling Jaya. Dia terpaksa keluar rumah seawal pukul 6.30 pagi, tambahan lagi dia hanya menaiki kenderaan awam. Bagi melancarkan semua urusan, dia akan keluar awal agar tidak berebut dengan pengguna pengangkutan awam yang lain.
Sampai awal ke tempat kerja juga membolehkan kita membuat persediaan sebelum waktu kerja bermula. Hal ini juga dapat mengelakkan rekod kedatangan kita menjadi merah kerana sering sahaja sampai lewat. Selain itu, kita juga boleh menyiapkan urusan kerja yang masih tertangguh. Jadikan amalan ini sebagai tanggungjawab dalam diri dan kita akan membisakan diri dengannya. Selain itu, penampilan kita juga akan menjadi kemas jika kita tidak berada dalam keadaan yang kelam-kabut. Cik Zulaikha baru memulakan kerjanya dengan sebuah badan swasta di Ampang. Dia baru tamat belajar di sebuah institusi awam dan tidak biasa keluar awal pagi. Kerana ingin mencapai cita-citanya, dia terpakasa bertindak sedemikian dan keluar seawal pagi untuk sampai ke tempat kerja. Tambahan pula dia mahu rekod kedatangannya bersih dan menepati masa.
Di samping itu, kita juga boleh bersarapan sebaik tiba di tempat kerja. Mungkin seorang bujang yang tidak sempat menyediakan sarapan di rumah dan hanya membelinya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Jika tiba awal, perut boleh dialas dengan makanan yang dibeli. Apabila perut selesa kita dapat bekerja dengan sempurna dan dan lancar. Contohnya, Noah seorang pekerja bank yang masih bujang. Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, Noah pasti akan singgah dan membeli sarapan berdekatan dengan tempat kerjanya. Tambahan pula, Noah perlu keluar untuk menemui pelanggan. Jika bekerja dalam keadaan perut kosong, semua perkara mustahil untuk dilakukan. Sekurang-kurangnya Noah mendapat tenaga untuk memulakan kerja sementara menunggu waktu makan tengahari.
Paling penting, keluar awal ke tempat kerja juga akan memberikan kita keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah. Kerana Rasulullah pernah bersabda, “Berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan supaya memperoleh keberkatan dan dimurahkan rezeki.” Kita tidak digalakkan untuk tidur sehingga waktu tengahari kerana perbuatan ini akan membuatkan rezeki semakin menjauh dari kita.
Maka, untuk sampai awal ke tempat kerja, kita juga diminta untuk tidur awal. Perkara ini bagi memastikan kita tidak terbabas dari jadual harian. Jika tiada kerja yang hendak dilakukan pada sebelah malam, tidur yang cukup membantu kita bangun dengan tenaga yang sepenuhnya pada keesokan hari. Untuk memulakannya kita mesti mengunci jam loceng. Tetapkan jam pada waktu awal pagi. Lama kelamaan kita mampu untuk bangun awal tanpa bantuan jam loceng. Jangan pula kita menghabiskan masa malam untuk berehat dengan keluar dan berseronok bersama kawan-kawan di luar.

Strategi Menangani Bebanan Hutang
http://www.usahawan.com/wp-content/uploads/2011/07/hutang-300x168.jpg
Setiap orang mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka berhutang. Ada golongan yang berhutang untuk tujuan peribadi. Ada pula yang berhutang untuk tujuan perniagaan. Sesetengah golongan pula berhutang kerana keadaan yang memaksa. Pengurusan hutang adalah satu aktiviti yang agak rumit dan memerlukan individu untuk mempunyai ilmu yang agak mendalam terutamanya dari segi pengurusan kewangan peribadi. Malangnya, tidak ramai orang yang mendalami dan menjadi pakar tentang ilmu pengurusan peribadi di negara ini. Pada waktu ini, tidak ada satu institusi pendidikan tinggi di Malaysia yang menawarkan subjek khas tentang ilmu kewangan peribadi. Sebenarnya ramai orang di Malaysia mula berjinak dan menguasai ilmu atas dasar minat sendiri. Mereka selalunya membuat kajian dan bacaan daripada buku-buku yang ditulis oleh kebanyakan rakyat asing. Oleh sebab itu, walaupun mempunyai ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi, mereka masih tidak mampu mengaplikasi secara efektif untuk menguruskan kewangan peribadi mereka sendiri. Walaubagaimanapun, situasi ini nampaknya menjadi lebih baik kerana terdapat segelintir rakyat tempatan yang sudah berani mengambil inisitaif dan berjaya menulis serta menerbitkan buku-buku berkenaan pengurusan kewangan peribadi yang lebih sesuai diaplikasi oleh rakyat Malaysia.
Ramai sedia maklum tujuan mereka berhutang. Walaubagaimanapaun, tidak ramai yang boleh membuat penilaian samada hutang yang mereka ambil itu jenis hutang yang perlu atau sebaliknya. Amat penting untuk seseorang untuk mengetahui tentang jenis-jenis hutang dan sebab mereka berhutang kerana mereka akan menjadi lebih fokus apabila menangani bebanan hutang kelak. Berikut adalah antara sebab utama kenapa seseorang berhutang dan jenis hutang tersebut:
Berhutang untuk mendapatkan barang-barang keperluan
Secara lazimnya, individu berhutang untuk membeli rumah kediaman, membina rumah kediaman, membeli kenderaan sebagai pengangkutan yang menjadi satu benda tuntutan di zaman sekarang. Hutang jenis ini selalunya berlaku sekali dalam hidup seseorang. Hutang ini tergolong dalam jenis hutang yang bersandarkan aset. Tempoh pembayaran yang panjang dan kadar faedah agak berpatutan bergantung keadaan ekonomi tempatan dan dunia.
Berhutang untuk memenuhi kehendak dan keinginan
Terdapat pula golongan yang berhutang untuk memenuhi kehendak dan keinginan mereka. Mereka berbelanja di luar kemampuan dari segi kewangan. Perkara ini terjadi pada dasarnya kerana mereka tidak dapat menguasai keinginan diri dan bertindak secara tidak rasional sehingga mereka tidak sedar bahawa kebiasaan berhutang untuk menjaga reputasi seperti mesti memakai pakaian berjenama mahal dan sebagainya akan membeban mereka dengan masalah hutang. Selalunya mereka berhutang dengan menggunakan kad kredit kerana barang-barang yang dibeli bukanlah aset yang diterima oleh bank sebagai cagaran. Hutang yang tidak bersandarkan aset selalunya dikenakan kadar faedah yang tinggi oleh pihak bank kerana ianya dianggap sebabagi jenis hutang berisiko tinggi. Tempoh bayaran bergantung kepada jumlah wang yang dibayar. Jika bayaran yang dibuat adalah jumlah yang minima, individu tersebut akan mengambil masa yang lama untuk menjelaskan hutang kad kreditnya.
Berhutang untuk membuat pelaburan
Golongan yang berhutang untuk membuat pelaburan biasanya mereka yang mempunyai ilmu yang mendalam tentang pengurusan kewangan peribadi atau mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan secara persendirian.
Perkara yang paling asas apabila berhutang untuk membuat pelaburan ialah kadar faedah yang dikenakan oleh pemberi hutang. Kadar faedah ynag dikenakan keatas hutang tersebut mestilah lebih rendah daripada untung yang akan diperolehi daripada pelaburan. Jika sebaliknya, pada akhir pelaburan anda bukan mendapat untung tetapi akan pula dibebani dengan hutang.
Berhutang kerana tuntutan semasa kecemasan
Bukan semua orang suka untuk berhutang. Terdapat juga segelintir golongan yang pandai menguruskan kewangan peribadi mereka. Mereka mempunyai satu sikap disiplin yang tinggi dan mengamalkan berbelanja dalam kemampuan sendiri. Jika mereka perlukan sesuatu barang, wang akan dikumpul dan golongan ini mempunyai tahap kesabaran yang tinggi untuk menunggu sehingga wang yang dikumpul cukup untuk membeli barang yang mereka perlukan. Walaubagaimanapun, seperti pepatah melayu “malang tidak berbau” dalam keadaan kecemasan seperti ditimpa kemalangan dan sebagainya, seseorang individu mungkin terpaksa berhutang untuk mendapat wang sebagai jalan penyelsaian untuk keluar daripada musibah tersebut. Mungkin wang diperlukan untuk membaiki kereta dan sebagainya.
Dalam keadaan ini, anda mungking bernasib baik dan dapat meminjam wang daripada kawan jika jumlahnya tidak besar. Akan tetapi sesetengah orang terpaksa meminjam daripada pihak bank dan sebagainya. Pada kebiasaanya, hutang kad kredit menjadi pilihan utama untuk menyelesaikan masalah perbelanjaan ynag tidak dibajetkan seperti apabila berlaku kemalangan atau kecemasan yang lain.
Langkah untuk menangani beban hutang
Hutang selalunya dianggap sebagai beban. Namun kepada segelintir orang, hutang juga boleh digunakan sebagai peluang dan memberi kemudahan serta langkah untuk memberi keuntungan. Walau apa pandangan anda terhadap hutang, ianya perlu diuruskan dengan cara yang teratur dan fokus.
Perkara pertama dan yang utama perlu anda ambil ialah berhenti daripada membuat hutang yang baru terutamanya hutang yang melibatkan kad kredit. Seterusnya, anda perlu mendalami ilmu dan selok belok tentang jenis-jenis hutang anda. Anda perlu membuat analisa dan mengira berapakah jumlah faedah yang akan anda bayar untuk menjelaskan hutang tersebut. Pada lumrahnya, hutang yang dikenakan kadar faedah yang paling tinggi seperti hutang kad kredit adalah hutang yang paling membebankan anda.
Oleh itu anda perlu mengambil langkah untuk membayar hutang kad kredit dengan jumlah sebanyak yang mungkin dan dalam tempoh yang paling cepat. Jangan sekali-kali membayar lewat kerana anda akan dikenakan caj kelewatan yang akan membebankan lagi keadaan anda. Atas arahan Bank Negara Malaysia, hampir semua bank di Malaysia pada waktu ini telah memberi insentif kepada individu dari segi mengenakan kadar faedah yang lebih rendah iaitu diskaun kepada mereka yang mempunyai disiplin dan membayar hutang kad kredit mengikut jumlah minimum selama 12 bulan berturut-turut. Anda perlu ambil peluang diskaun ini dan membuat bayaran pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan setiap bulan. Perkara yang paling mudah untuk anda lakukan ialah membuat jadual dengan menggunakan Microsoft Excel untuk setiap hutang kad kredit yang anda perlu lunaskan. Jalankan simulasi bagaimana hutang anda sebenarnya akan dapat dilunaskan lebih awal jika bayaran dibuat lebih daripada bayaran minima. Jika anda tidak pasti, anda boleh merujuk kepada rakan yang lebih pakar. Awas! Jangan pula anda terpedaya dengan pihak yang cuba membuat duit untuk memberi khidmat nasihat kewangan dengan mengenakan caj yang tidak munasabah. Anda perlu menguasai langkah-langkah ini sendiri supaya ianya boleh diaplikasi sebagai satu penyelesaian yang kekal dan bukan berbentuk sementara.
Bayar hutang mengikut tarikh yang ditetapkan. Langkah ini adalah perlu kerana anda akan dikenakan denda lewat jika bayaran dilakukan selepas tarikh yang ditetapkan tidak kira jenis hutang. Bukan sahaja anda akan dibebani dengan denda lewat, rekod pembayaran hutang yang akan dihantar oleh bank dan institusi kewangan ke Bank Negara Malaysia akan menunjukkan rekod yang tidak bagus. Sekaligus, perkara ini mungkin boleh memberi kemudaratan yang lain. Jika jumlah hutang anda melebihi RM30,000 dan anda tidak dapat melunaskannya mengikut ketetapan oleh pihak bank, anda mungkin akan dikenakan tindakan undang-undang dan berakhir dengan kebankrapan. Jika hal ini berlaku, rekod peribadi anda juga akan terjejas dan peluang anda untuk kekal dalam jawatan atau mendapat pekerjaan baru adalah sukar.
Jika ada wang lebih, bayar hutang! Gunakan wang bonus anda untuk melangsaikan hutang. Dengan cara ini, anda akan dapat mengurangkan jumlah baki pinjaman. Apabila jumlah baki pinjaman rendah, jumlah bayaran untuk faedah juga turut berkurangan. Oleh itu akan dapat melunaskan hutang dalam masa yang lebih pendek daripada tempoh asal. Jika anda mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk langsaikan hutang, gunakan cara ini. Buat kiraan samada simpanan anda akan memberi pulangan yang lebih lumayan atau sebaliknya. Jika kadar keuntungan daripada wang yang anda simpan lebih kecil daripada faedah yang dikenakan keatas hutang anda, inilah masanya untuk anda perlu berbuat sesuatu dan langsaikan hutang anda.
Anda juga perlu rajin mencari maklumat yang boleh menguntungkan anda dari segi mengurangkan faedah yang dikenakan ke atas hutang anda. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, akibat persaingan perniagaan yang amat sengit, kebanyakan bank menawarkan produk yang membolehkan anda memindah baki hutang kad kredit anda dengan sebuah bank kepada mereka tanpa sebarang faedah dikenakan. Ini akan menjimatkan anda dan anda bolehlah menggunakan sejumlah wang yang sepatutnya anda bayar faedah pinjaman untuk mengurangkan baki pokok hutang anda.
Anda mesti berbelanja dengan sebaiknya. Membeli sesuatu mengikut kemampuan dan diminta untuk tidak berbelanja melebihi kemampuan diri. Contohnya membeli kasut yang berjenama. Memadai jika kita mempunyai kasut yang selesa untuk bergerak ke tempat kerja.
Di samping itu, setiap perbelanjaan yang dilakukan mestilah dengan perancangan. Anda digalakkan untuk membeli barang yang diperlukan sahaja. Bukan membeli semua barang yang kita suka. Pembaziran seperti ini akan menyebabkan anda berhutang dengan pihak lain untuk memenuhi nafsu berbelanja yang tinggi. Tambahan lagi, apabila musim gaji. Contohnya, perkara pertama yang perlu dilakukan sebaik mendapat gaji bulanan adalah membayar hutang dan bil-bil bulanan. Seperti hutang kereta, hutang rumah, bil air, bil api dan sebagainya. Selepas membayar hutang, perbelanjaan barang keperluan perlu dibuat dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.
Jangan pula belanjakan semua wang gaji yang diterima. Anda perlu membuat simpanan wang untuk kegunaan pada masa hadapan atau di waktu kecemasan. Kerana kita tidak tahu bila masa kita akan diduga dengan ujian yang hebat ini. Setidak-tidaknya, kita boleh mengeluarkan simpanan untuk kegunaan masa kecemasan dan bukan berhutang dengan pihak lain pula.
Tahukah anda bahawa anda boleh mendapat wang lebihan akibat daripada kenaikan harga rumah? Caranya ialah dengan membuat hutang baru tetapi bersandarkan aset iaitu rumah anda. Ya, memang anda sebenarnya tidak dinasihatkan untuk menambah hutang, tetapi dalam situasi ini, anda sebenarnya menggunakan peluang yang ada supaya anda dapat memindah jenis hutang daripada hutang kad kredit yang merupakan hutang yang paling mahal kepada jenis hutang yang lebih rendah caj faedahnya.
Apabila segala usaha untuk menangani bebanan hutang tidak membuahkan hasil dan anda menemui jalan buntu, masih ada lagi satu cara yang anda boleh ambil. Agensi Kemudahan Pengurusan Kredit (AKPK) merupakan anak syarikat Bank Negara Malaysia yang telah ditubuhkan bertujuan untuk menolong ramai rakyat menguruskan hutang mereka dengan lebih berdidsiplin dan teratur.
Tindakan diambil untuk penubuhan AKPK berdasarkan ramai rakyat Malaysia dibebani hutang kerana mereka tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menguruskan kewangan peribadi mereka serta disiplin diri yang kurang dalam hal-hal pengurusan kewangan peribadi. Keadaan ini menjadi lebih buruk apabila kebanyakan institusi kewangan mengenakan caj faedah yang tinggi ke atas hutang kad kredit. AKPK akan menjadi pihak ketiga atau orang tengah untuk berunding dengan pihak institusi kewangan untuk menyatukan segala hutnag anda dan juga berunding supaya kadar faedah yang dikenakan ke atas hutang anda dapat dikurangkan. Dengan cara rundingan bersama ini, selalunya pihak bank akan lebih mengalah dan berstuju dengan cadangan ynag dibentangkan oleh AKPK. Apabila seseorang mendapat khidmat nasihat AKPK, bukan sahaja mereka akan mendapat tunjuk ajar bagaimana untuk melangsaikan hutang yang ada tetapi mereka juga diberi kaunseling dan ilmu pengetahuan untuk lebih arif tentang pengurusan kewangan peribadi mereka pada masa akan datang.












Strategi Menjual Produk di Facebook

http://www.usahawan.com/wp-content/uploads/2011/10/facebook.jpg
Facebook. Siapa yang tidak pernah dengar akan perkataan magik ini? Ia adalah laman web sosial yang paling popular dan hebat pada masa sekarang. Ia digunakan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia. Tidak kiralah apa sahaja yang seseorang itu lakukan sama ada pelajar, guru, ahli perniagaan dan ramai lagi. Mereka sudah mempunyai akaun Facebook sendiri yang digunakan untuk memperkenalkan diri. Hari ini fenomena Facebook telah melanda segenap lapisan masyarakat. Miskin, kaya, tua, muda, pemimpin negara, rakyat biasa, pegawai tinggi, kuli, polis, penjenayah, dan bahkan pengemis jalanan pun ada akaun Facebook. Seseorang apabila ditanya sama ada memiliki akaun Facebook atau tidak, jika jawapannya “tidak ada”, si penanya akan memandangnya dengan penuh skeptikal. Seperti tidak lengkap jika tidak ada Facebook. Seperti orang yang tidak memiliki telefon bimbit. By the way, kita jangan lupa bahawa Facebook juga boleh ‘dimain’ hanya dalam handphone.
Kegilaan terhadap Facebook telah melahirkan golongan yang ketagihan laman sosial ibarat virus ini. Contohnya, selebriti terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, berusia 32 tahun, mengaku ketagihan Facebook apabila dia sentiasa memikirkan post-post terbaru yang ingin diletakkan di Wall. Beliau juga rasa teruja setiap kali menerima komen daripada para peminatnya. Kegilaan ini dikatakan memuncak apabila di Mesir, seorang ayah pula menamakan bayinya yang baru lahir dengan nama Facebook . Al-Ahram, sebuah surat khabar yang cukup popular di Mesir menulis, seorang ayah bernama Jamal Ibrahim yang berusia sekitar 20 tahun hendak mengungkapkan perasaan terima kasihnya di atas kemenangan Revolusi 25 Januari, dengan memberi nama anak perempuan pertamanya yang baru lahir dengan nama “Facebook Jamal Ibrahim”!
Mari kita selidik dari mana datangnya fenomena luar biasa zaman kini ini.
Pengasas Facebook , Mark Zuckerberg, telah membina laman web rangkaian sosial ini ketika beliau baru berumur 23 tahun dan masih menuntut di Universiti Harvard. Beliau melancarkan Facebook pada bulan Februari 2004. 24 jam selepas pelancarannya, seramai 1,200 pelajar Harvard telah mendaftar, dan dalam masa satu bulan, hampir separuh pelajar sarjana muda Harvard telah memiliki profil Facebook.
Pada mulanya Facebook disasarkan sebagai rangkaian sosial pendidikan dan telah berkembang ke universiti-universiti di seluruh Amerika. Hanya setahun selepas pelancarannya, Facebook telah berkembang melibatkan penuntut sekolah tinggi Amerika dan ‘menjelajah’ ke universiti-universiti di United Kingdom. Selepas itu fenomena rangkaian sosial Facebook seperti tidak dapat dibendung lagi dan sesiapa saja yang memiliki e-mail boleh membuka akaun Facebook di seluruh dunia. Facebook mengumumkan jumlah ahlinya sudah melebihi 30 juta orang pada tahun 2007. Hari ini jumlah ahli Facebook sudah melebihi 800 juta orang.
Facebook amat popular kerana aplikasi-aplikasinya yang mudah, menarik minat, dan percuma. Selain daripada itu ahli-ahlinya juga boleh membina aplikasi-aplikasi sendiri untuk digunapakai atau dimainkan dalam Facebook. Facebook mendapat keuntungan daripada pengiklanan. Syarikat-syarikat gergasi seperti Google dan Yahoo pernah menaruh minat untuk membeli Facebook dengan menawarkan harga sehingga USD$2 bilion, tetapi ditolak oleh Zuckerberg.
Sedar tak sedar fenomena ini telah memberi impak yang banyak baik kepada individu, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara. Di dalam Facebook sesiapa saja bebas untuk mengatakan apa saja; memuji, mengutuk, meluahkan kemarahan, kejiwangan, kepandaian, dan juga kebodohan. Oleh itu impaknya boleh jadi positif dan boleh jadi juga negatif, bergantung kepada siapa yang membuat kenyataan dan kepada siapa kenyataan itu ditujukan.
Facebook juga dijadikan medan untuk bertemu dengan sahabat handai yang sudah lama terpisah, dan bahkan ada yang menemukan pasangan hidup melalui Facebook. Facebook juga boleh digunakan sebagai medan percambahan minda melalui perbincangan-perbincangan maya yang efektif. Dan dengan cara yang berpatutan, ahli-ahli juga boleh menyalurkan ‘kegiatan2 ibadah’ melalui Facebook.
Bagi yang lebih kreatif dan berwawasan, mereka menggunakan Facebook untuk tujuan komersial dengan menjual produk dan membina jaringan pemasaran. Antara cara-cara yang biasa yang digunakan oleh usahawan internet, pelajar kolej, suri rumah tangga mahupun sesiapa sahaja sebenarnya bukanlah luar biasa seperti yang disangka. Malah, sebenarnya ianya agak mudah!
Sebelum menjual produk, sudah tentu kita perlu mempunyai jumlah rakan atau dipanggil Friends dalam Facebook dahulu. Lebih ramai Friends, lagi senang untuk menjual, betul? Tetapi bagaimana cara untuk membolehkan ramai yang Add anda? Pertama sekali ialah anda, sebagai penjual, digalakkan menggunakan gambar profil yang menarik. Elakkan menukar-nukar gambar profil secara kerap. Gunakan satu gambar secara konsisten. Jadikan gambar profil sebagai logo di Facebook ini. Kedua, perbanyakkan pengisian seperti menulis artikel. Orang akan klik Share dan kemudian orang lain akan Add kita selepas membaca artikel yang telah diSHARE oleh rakan mereka tersebut.
Ketiga, layari Wall rakan Facebook lain dan berikan komen pada status, foto, imej, video atau artikel mereka. Aktif menggunakan Links, Photo, Video dan Notes. Keempat-empat elemen ini cukup berpengaruh untuk mendapatkan respon yang singkat berbanding kaedah email. Kita boleh tag sesiapa rakan yang dikenali serta share links ke dalam mana-mana groups atau pages dengan mudah sekali. Paling mudah share links atau tag gambar yang menggambarkan sesuatu yang positif, quote yang menginspirasikan, atau gambar yang melucukan. Ini akan dapat menarik perhatian sasaran serta membolehkan kita berinteraksi untuk menjadikan ianya lebih viral. Disarankan elemen ini digunakan lebih kerap setiap minggu bagi mendapatkan respon dari members selain terselit agenda simbiotik untuk publisiti atau promosi.
Keempat, letak Widget Facebook di blog. Selitkan juga link ke profile Facebook kita di artikel blog. Manfaatkan kombinasi Facebook Widgets untuk menambah Friends. Ada banyak jenis widget untuk profile, pages mahupun groups. Kita boleh sesuaikan dengan mana-mana blog yang kita miliki serta menjadikan ia lebih viral dengan Facebook . Kombinasi ini cukup penting menjadikan web atau blog kita lebih interaktif serta mempunyai peminat atau pengikutnya yang tersendiri.
Kelima, sertai Groups yang aktif di Facebook. Tetapi pastikan anda hanya sertai yang relevan dengan produk anda. Aktifkan diri di sana seperti memberi komen pada status semasa dan pada mana-mana bahagian yang boleh diberikan komen. Pastikan memberi komen yang membina. Teknik viral serta e-marketing dengan Facebook sebenarnya ada pada function Facebook Groups & Pages. Ini kerana kita dapat mengumpul seberapa banyak mungkin list dengan kedua-duanya. Kelebihan jangka masa panjang diberikan kepada Facebook Pages yang mempunyai function Insight melihat statistik demografi yang sesuai untuk mensegmenkan pasaran. Manakala Facebook Groups lebih sesuai untuk perkara-perkara yang lebih santai dan bersifat tidak rasmi. Disarankan supaya fokus kepada pembinaan lebih daripada 10 jenis Facebook Groups & Pages dalam pelbagai niche. Ini akan menjadi aset sekunder yang boleh menggantikan autoresponder berbayar yang jauh menjimatkan tanpa apa-apa kos. Gabungkan Facebook Groups mahupun Pages dengan blog atau website bagi mendapatkan trafik yang berterusan.
Seterusnya, manfaatkan kelebihan Facebook Events. Di sini peluang terbaik untuk membawa social networking ini ke dimensi yang lebih serius. Anda boleh Create an Event untuk apa jua aktiviti atau program di alam realiti maupun secara maya. Sebagai contoh, anda boleh berjumpa sambil main permainan Cashflow 101 yang mengajar banyak perkara tentang financial management. Event tersebut mmg cukup berfaedah sekali, dan kita patut buat apa jua event dalam sekali sebulan untuk meningkatkan prestasi networking kita dengan orang lain. Yang terakhir, bantu rakan Facebook secara ikhlas atau bekerjasama dengan mereka. Mereka biasanya akan Tag nama kita pada ruang status mereka. Daripada Tag itu, rakan-rakan mereka akan klik pada nama kita dan akan memasuki profile Facebook kita. Mereka akan Add kita jika mereka berminat.
Akhir sekali, elakkan bermain game atau chat yang tidak bermanfaat. Ok, ini merupakan aktiviti yang kurang efisyen bagi usahawan internet jika terlalu banyak main game atau chatting yang tidak bermanfaat. Facebook ini wajar dijadikan saluran pemasaran yang berpotensi untuk mencapai anggaran jualan produk yang tinggi. Chatting dengan prospek dibolehkan, tetapi ianya bukan tempat untuk bercanda maupun mengorat. Jadikan Facebook medan pemasaran yang paling menguntungkan. Itu baru tips, belum tentang pantang larang di Facebook lagi!
Begini, untuk mendapat anggaran jualan yang memuaskan, kita perlu konsisten. Tidak boleh tenggelam timbul, sekejap aktif, sekejap tidak. Pastikan kita mengenali sekurang-kurangnya 10 orang atau lebih di Facebook ini sebagai rakan tetap kita di mana kita sering melawati ruangan Facebook mereka, termasuk memberikan komen yang membina dan bermotivasi. Kesilapan kebanyakan penjual ialah mereka menjual di Facebook seperti mereka menjual di Mudah.com. Itu salah! Promosi secara agresif adalah amat kurang sesuai. Keberkesanan pemasaran di Facebook adalah terletak kepada sejauh mana keikhlasan kita, komunikasi kita dengan rakan-rakan Facebook dan juga sebanyak mana kita memberikan informasi yang berguna. Cara pemasaran di Facebook lebih kepada soft marketing seperti berkenal-kenalan, bertegur-sapa, berkongsi informasi, memberi pendapat dan lain-lain lagi. Fokus kepada perbincangan positif dan berpotensi. Kita memerlukan identiti yang dihormati dan disegani lawan maupun kawan. Oleh itu proses jual beli mahupun perbincangan di Facebook perlu berhikmah dan bijaksana.
Jika ada perkara yang tidak dipersetujui maka berhujahlah dengan dalil, fakta yang konkrit disulami bahasa yang santai dan terbuka. Digalakkan menyertai perbincangan yang konstruktif, kolaboratif dan positif dalam memberi manfaat kepada semua warga Facebook . Isu sensitif melibatkan agama, bangsa dan apa jua yang mudah menggugat sensitiviti perlu berhati-hati serta di sini letaknya kecerdikan akal untuk mengimbangi emosi. Elak konfrontasi terbuka dengan mereka yang berfikiran negatif, sebaliknya berkawanlah dengan mereka yang mempunyai identiti yang positif jauh lebih baik.
Seterusnya, kuantiti bukanlah segala-galanya. Tidak semua akaun Facebook Friend kita adalah aktif. Ada yang sekadar suka-suka, masuk Facebook tidak terlalu kerap dan ada juga akaun yang belum lengkap profile mereka. Untuk itu, jika berkesempatan, Remove Friend yang berkaitan seperti Friend yang menyertai kita sekadar mahu mempromosi program buat duit atau skim cepat kaya semata-mata.
Manfaatkan Facebook sebaiknya kerana ia adalah fenomena pemasaran paling hebat di zaman ini!




Berniaga dari Rumah
http://www.usahawan.com/wp-content/uploads/2011/09/workathome.jpg
Ramai yang bercita-cita untuk menjadi orang yang berjaya. Wang ringgit selalunya menjadi ukuran sejauh mana seseorang itu berjaya dalam hidup atau kerjayanya. Ramai yang mendambakan kereta mewah, rumah tersergam indah, pembantu rumah tidak kurang dari 2 orang untuk memasak, mengemas rumah, peluang bercuti ke luar negara setiap tahun dan sebagainya.
Secara konvensional dan apa yang selalu orang percaya, cara untuk berjaya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sewaktu dibangku sekolah dan menimba ilmu hingga ke menara gading. Jika seseorang dapat merangkul segulung ijazah maka cerahlah masa depan. Secara normalnya, keadaan inilah yang kita lihat terjadi. Jika seseorang tidak mahu mengikuti jalan tersebut iaitu untuk mendapat kelayakan akademik, maka sangat sukar untuk berjaya di dalam kerjaya sekali gus sukar untuk hidup mewah.
Namun begitu tidak semua orang bernasib baik daripada awal kehidupan dan mendapat peluang untuk mengikuti kelas secara rasmi dan formal di sekolah. Masih ada sesetengah golongan yang tidak berpeluang untuk ke sekolah, apatah lagi melanjutkan pelajaran ke menara gading. Golongan ini tidak dapat mengecapi kemewahan hanya kerana mereka tidak mempunyai peluang!
Walau bagaimanapun, bak kata pepatah melayu di mana ada kemahuan, disitu ada jalan. Sekali hati nekad untuk berjaya, walau apa rintangan yang datang pasti semangat itu tidak luntur. Inilah yang dialami oleh Puan Suria yang selalu percaya bahawa dia akan berjaya dengan hanya berniaga dari rumah. Puan Suria baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke 40 tahun. Ramai yang hadir antaranya saudara mara serta rakan taulan. Pada majlis sambutan hari lahirnya juga, Puan Suria menghidangkan kek kukus hasil kerja tangannya sendiri. Puan Suria sangat gembira bukan kerana majlis itu adalah untuk meraikan hari lahirnya, tetapi beliau gembira kerana hasil titik peluh membuat kek kukus saban hari, saban malam hingga terpaksa bersekang mata telah membuktikan bahawa usaha itu tangga kejayaan.
Puan Suria tidak belajar daripada buku teks untuk merasai betapa usaha lah yang sebenarnya akan meletakkan seseorang itu di tangga kejayaan. Puan Suria merasai dan melaluinya secara praktikal. Puan Suria tidak hanya membaca ungkapan “Usaha itu tangga kejayaan” di dada buku tetapi perkataan itu sentiasa tersemat di hati dan mindanya terutamanya di saat beliau merasa putus asa apabila kek yang dikukusnya tidak menjadi. Ini berlaku pada awal penglibatannya dalam perniagaan kek kukus dari rumah.
Oleh kerana Puan Suria tidak mampu untuk menyertai mana-mana kelas membuat kek, beliau hanya mencuba memulakan perniagaan kek kukus secara perlahan-lahan. Suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain akan dipaksa oleh Puan Suria untuk merasa kek kukus beliau setiap kali mereka berkunjung ke rumahnya. Setiap orang yang mencuba kek kukus Puan Suria pasti akan ketawa apabila mengimbau kembali detik mereka diarahkan oleh Puan Suria untuk mencatat segala komen dan cadangan yang terlintas dikotak fikiran mereka selepas mencuba kek yang dikukus Puan Suria. Sudah 10 tahun usia perniagaan yang dijalankan Puan Suria dari rumahnya sahaja. Sudah banyak perubahan yang berlaku dalam hidup Puan Suria sekeluarga sejak beliau menjalankan perniagaan ini.
Pada awalnya, Puan Suria mencuba membakar dan mengukus pelbagai resepi kek buah dan juga kek jenis yang lain. Setiap kali proses membakar atau mengukus kek, Puan Suria akan membuat perubahan keatas resepi kek berdasarkan komen atau cadangan yang diberikan oleh sanak saudara, sahabat dan ahli keluarga. Kebetulan pula kebanyakan mereka yang memberi cadangan menyatakan kek buah kukus hasil resepi yang direka sendiri oleh Puan Suria enak sekali. Ia juga tahan lama kerana cara pembuatan kek kukus ini adalah melalui proses yang sistematik dan kebersihan amatlah dititik beratkan.
Kelainan pada resepi dan cara pembuatan adalah rahsia tersohornya kek kukus Puan Suria. Buah-buahan kering untuk membuat kek dibeli berasingan daripada kedai bahan-bahan kek yang terkenal di Lembah Kelang ini. Buah-buahan kering tersebut akan direndam dan diperap dengan campuran sos yang unik. Sos diperbuat daripada campuran gula perang, serbuk kulit kayu manis, serbuk herba campuran serta kulit oren yang diparut halus. Bahan-bahan ini direndam selama satu malam. Sudah tentu kita pun boleh bayangkan rasa sos yang meresap ke dalam buah-buahan kering tadi.
Puan Suria amat menitik beratkan tempat penyediaan yang bersih. Semasa penyediaan, beliau akan memastikan pakaian yang dipakai olehnya adalah lengkap dan mematuhi cara pengendalian membuat produk makanan. Puan Suria hanya mendapat pendedahan tentang maklumat pengendalian makanan yang betul sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ini juga adalah bermula dari inisiatif beliau sendiri untuk menghadiri kursus-kursus yang penting untuk membuktikan kepada pelanggan bahawa beliau juga tidak lokek untuk membuat pelaburan demi untuk menghasilkan produk makanan yang enak, bermutu serta bersih dari segi bahan-bahan yang digunakan. Bahan pengawet dan perasa tiruan tidak pernah dicampurkan sebagai bahan untuk membuat kek.
Sehingga waktu ini, beliau masih lagi belum selesa untuk mengembangkan perniagaannya ke peringkat kilang kerana pada pendapat beliau tujuan asal menghasilkan kek kukus dari rumah ialah kerana produk makanan ini jarang diceburi peniaga lain. Proses mengukus yang lama untuk memastikan kek masak dengan betul serta dapat mengekalkan rasa yang enak. Puan Suria masih mengenakan harga yang berpatutan walaupun harga bahan-bahan yang diguna sudah melambung naik. Bagi Puan Suria, jika beliau ikhlas untuk menolong pelanggannya menikmati kek kegemaran mereka, rezeki akan datang dengan mudah.
Sekitar lima tahun kebelakangan ini, Puan Suria sudah menambah alatan untuk mengukus kek kepada lebih 20 biji periuk pengukus. Suaminya yang juga mahir dalam kerja-kerja binaan telah menyediakan bahagian dapur yang sesuai untuk mengukus kek sehingga 20 biji dalam satu masa.
Pesanan untuk kek buah kukus Puan Suria akan datang pada bila-bila masa sahaja. Jika pada waktu awal penglibatan beliau di dalam perniagaan ini, pesanan hanya datang dari jiran tetangga, sahabat handai dan sanak saudara sahaja. Tetapi sejak lima tahun yang lepas, pesanan datang daripada segenap pelusuk negara. Ada yang memesan melalui telefon, rakan dan jiran dan ada juga yang memesan melalui laman blog Puan Suria.
Kisah menarik tentang laman blog Puan Suria sebenarnya dizahirkan secara kebetulan sahaja. Salah seorang pelanggan setia kek kukus Puan Suria yang bernama Cik Marini merupakan seorang yang mahir dalam penulisan laman blog. Oleh kerana sudah sekian lama Cik Marini menggemari kek kukus Puan Suria, satu hari dia bertekad untuk melawat Puan Suria di rumahnya dan melihat sendiri bagaimana proses membuat kek kukus. Bermula dari waktu itu, Cik Marini pada mulanya mempromosi kek kukus Puan Suria di laman blognya sahaja. Tetapi lama kelamaan, mereka berdua bersahabat dan Cik Marini telah memberi tunjuk ajar supaya Puan Suria juga boleh membangunkan laman blognya sendiri dan sekali gus dapat mempromosi kek kukusnya.
Puan Suria akui bahawa pada awalnya beliau amat kekok untuk membangun apatah lagi untuk meguruskan laman blognya itu. Akan tetapi dengan disiplin dan etika kerja yang teratur, Puan Suria menyediakan jadual harian dan mingguan untuk menguruskan pesanan melalui blog. Beliau juga akan memastikan maklumat dan gambar-gambar dikemaskini mengikut jadual.
Apabila seseorang menjalankan perniagaan dari rumah, penghantaran produk mestilah dibuat dengan cara yang teratur. Lebih-lebih lagi jika produk yang anda jual melibatkan produk makanan. Puan Suria memilih pelbagai cara penghantaran mengikut kesusaian lokasi pelanggan. Penghantaran kepada pelanggan akan dikenakan bayaran yang berpatutan mengikut kos yang dikenakan oleh ajen penghantaran seperti pejabat pos dan sebagainya. Ada juga pelanggan yang datang untuk mengambil kek mereka sendiri.
Kek kukus Puan Suria boleh tahan lama. Oleh itu, beliau juga pernah membuat penghantaran kek ke luar negara seperti ke Singapura, Indonesia, India dan beberapa tempat di negara Eropah. Kebanyakan pelanggan yang berada di luar negara adalah terdiri daripada orang Malaysia yang bekerja atau belajar di negara-negara tersebut. Mereka mengetahui akan kek kukus Puan Suria melalui laman blog. Setakat ini semua pelanggan dari luar memberi komen yang positif terhadap rasa dan cara pembungkusan kek kukusnya. Walaupun masa penghantaran yang agak lama dan jarak yang jauh, kek kukus Puan Maria masih tidak terusik seperti hanya datang dari rumah berdekatan!
Bohonglah jika seseorang yang menjalankan perniagaan tidak pernah melalui kesukaran dan cabaran. Puan Suria juga pernah mengalami pelbagai kerenah pelanggan dan kesulitan untuk berjaya sehingga ke tahap ini. Suatu kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh Puan Suria berlaku pada dua tahun yang lepas apabila beliau menerima pesanan yang agak banyak daripada seorang pelanggan melalui laman blognya. Akan tetapi, selepas pesanan dibuat dan kek sudah siap, pelanggan menghilangkan diri tanpa berita. Bayaran tidak dibuat. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Puan Suria mengambil langkah untuk membuka gerai sementara di kawasan pasar tani berdekatan bandar untuk menjual kek-kek yang tidak dituntut pelanggan. Pada waktu itu, nasib menyebelahi Puan Suria kerana bukan sahaja kek kukus beliau habis terjual tetapi kejadian itu telah melonjakkan lagi promosi terhadap kek kukusnya. Bertitik tolak dari saat itu, Puan Suria terus yakin bahawa apa jua kesulitan yang dialami untuk memajukan perniagaannya, pasti ada hikmah dan penyelesaian yang akan muncul. Yang penting tidak putus asa dan tidak boleh ada perasaan malu!
Walau bagaimanapun, setiap kesusahan dan cabaran yang dialami mestilah dijadikan pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak berulang. Puan Suria mengambil langkah untuk mengenakan bayaran sebanyak 50% daripada jumlah keseluruhan tempahan kepada pelanggan yang tidak dikenalinya.
Pada kesimpulannya, seseorang pastinya boleh berjaya dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi jika mempunyai wawasan dan objektif yang nyata. Disiplin serta sikap sabar yang tinggi haruslah disemat dalam diri. Inilah yang diamalkan Puan Suria yang kini sudah boleh berpuas hati dengan pendapatan perniagaan kek kukus dari rumah mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

No comments:

Post a Comment