Petua Islam Dalam Menangani Perasaan Marah
Sifat pemarah itu
berasal daripada sifat sombong iaitu ego. Lagi besar ego seseorang
lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang.
Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya,
ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan
menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka
akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya. Marah apabila
tidak dibendung maka akan membawa perkara yang di luar batasan. Justeru,
Islam mengajar kita untuk menahan marah seperti berikut:

Pertama
Melatih diri untuk
bersifat baik dan positif seperti lemah lembut, baik hati, sabar, tenang
dalam menghadapi apa saja situasi. Rasulullah saw telah menunjukkan
contoh terbaik kepada kita dalam hal ini seperti kisah yang berikut:
Suatu hari seorang
lelaki yang bernama Zaid bin Sa’nah (sebelum keislamannya), datang
berjumpa Nabi Muhamad SAW untuk meminta hutang daripada Nabi SAW namun,
hutang tersebut belum masanya lagi untuk dibayar. Zaid datang dgn penuh
kekerasan dan kekasaran. Nabi menyambut kedatangan Zaid dengan senyuman
dan berlapang dada. Umar mengherdik Zaid atas kekasaran Zaid terhadap
Rasulullah SAW. Maka, Nabi pun berkata kepada Zaid dan Umar.
“Aku dan dia(zaid), kami lebih memerlukan kepada sikap yang lain daripada apa yg kamu tunjukkan wahai Umar. Engkau sepatutnya menyuruh aku supaya membayar dengan baik dan menyuruh lelaki tadi(Zaid) meminta dengan cara yang baik”
Nabi meminta sahabat
untuk membayar hutang tersebut namun Nabi telah membayar lebih daripada
hutang tersebut sebagai tanda memujuk Zaid atas sikap Umar. Dengan sikap
dan akhlak yang ditunjukkan Nabi maka, akhirnya Zaid memeluk Islam.
(Hadith riwayat Ibnu Hibban al-Hakim dan at-Thabrani)
Kedua
Hendaklah seseorang
itu menguatkan jiwanya ketika mana dia hendak marah, kemudian ingat
tentang akibat buruk marah dan mengingati kelebihan orang yang menahan
marah dan memaafkn kesalahan orang lain.
Firman Allah swt
“Orang-orang bertakwa ialah orang yang berinfak baik diwaktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Allah mencintai orang yang berbuat kebaikkan” (Al-imran:134)
Nabi SAW bersabda bermaksud :
“Sesiapa yang menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di depan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari”(Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud & At-Tirmizi)
Ketiga
Meminta perlindungan kepada Allah Ta’ala daripada syaitan yang direjam. Banyakkan baca Ta’awwuz ( A’uzubillahi minas
Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
Firman Allah Ta’ala :
”Dan jika syaitan datang menggodamu maka berlindunglah kepada Allah. Sungguh, Dia Maha Mendengar , Maha Mengetahui” (Al-A’raf:200)
Keempat
Orang yang marah
hendaklah mengubah kedudukannya dari berdiri kepada duduk. Apabila
kedudukan seseorang yang marah itu berdiri maka memudahkan dia untuk
mengambil tindakan atas amarahnya.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
”Apabila seseorang kamu marah dalam keadaan berdiri hendaklah dia duduk, jika masih tidak hilang kemarahannya hendaklah dia berbaring secara mengiring”(Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)
Kelima
Tidak berkata-kata
kerana kata-kata boleh menambahkan kemarahan dan kata-kata yang telah
dilafazkan membuatkan timbul rasa penyesalan ketika perasaan marah telah
reda
Nabi SAW bersabda maksudnya :
”Apabila seseorang kamu marah hendaklah dia diam”Nabi saw mengucapkannya 3 kali.
(Hadith riwayat Ahmad, Tarmizi & Abu Daud)
Keenam
Berwudhuk, di mana
kemarahan datang daripada syaitan yang dicipta daripada api. Maka yang
demikian, yang dapat memadamkan api adalah air yang dapat diperoleh
daripada berwudhuk, demikian dangan izin Allah dapat meredakan
kemarahan.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang daripada kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk”
(Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)



No comments:
Post a Comment