Tuesday, December 1, 2009
Coklat Dan Gamat
COKLAT gamat sebagai hadiah perkahwinan? Kedengaran seperti janggal, namun fakta tersebut mungkin menggembirakan kaum lelaki.Seperti tongkat ali, gamat juga diketahui mempunyai khasiat yang berkaitan dengan daya ketahanan seksual - sesuatu yang amat sensitif bagi golongan Adam.
Jika sebelum ini gamat sering hadir dalam bentuk pil dan minuman, kini ia boleh dinikmati dalam bentuk coklat pula.
Cerita bermula dengan obses Azian menjual secara sambilan produk coklat semasa menjadi pembantu penyelidik di bahagian teknologi makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor.
"Produk coklat diminati ramai orang manakala gamat telah terbukti banyak kelebihan seperti mampu mempercepatkan penyembuhan luka luaran dan dalaman, mengurangkan rasa sakit sendi, badan dan lengoh otot, menghindari masalah alahan dan lelah, melawan radang dan meredakan bengkak, selain melancarkan pengaliran darah dan menguatkan tenaga batin, " ujar Azian yang pada masa sama melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di universiti itu.
Namun, bukan mudah untuk menghasilkan coklat gamat. Azian terpaksa mengambil masa selama empat bulan untuk mendapatkan resipi terbaik dan melakukan beratus-ratus kali percubaan.
"Pelbagai faktor juga perlu diambil kira terutama stigma orang ramai terhadap gamat seperti bau, tekstur dan ciri fizikalnya," ujarnya yang meminati coklat sejak kecil.
Tambah beliau: "Ironinya bagi orang Eropah, mereka tidak kisah kerana mereka kurang mengenali gamat.
"Masyarakat Asia Tenggara sukar sedikit memandangkan gamat dekat dengan kehidupan mereka.
"Tetapi dengan rasa yang diperbaharui serta penggunaan ekstrak gamat emas pada kadar lima peratus sahaja, produk coklat gamat nampaknya semakin digemari," tutur Azian.
Hasil penat lelah Azian itu berbaloi kerana sejak coklat gamat beliau diperkenalkan lebih setahun lalu, ia mendapat sambutan yang cukup mengalakkan.
Selain itu, Azian turut menjual kira-kira 20 jenis coklat lain, antaranya roasted almond, hazelnut dan coklat untuk pesakit diabetes menerusi syarikat beliau, Zyraz Technology Sdn. Bhd.
Menurut Azian, beliau memperoleh stok gamat emas mentah daripada pengedar hidupan itu di Terengganu.
"Bagi empat biji gamat seberat 50 gram, ia dijual pada harga RM8," ujar beliau.
No comments:
Post a Comment