Friday, 27 January 2012

Bagaimana Saat Aku Dipanggil Kelak?

Posted by encikshahir on August 21, 2011
TaubatkuSetiap kali berlaku kematian, terutamanya yang mengejut (ada ke yang tidak mengejut?) terasa sebahagian diri ini juga telah hilang. Selain itu, terasa masa aku di dunia ini semakin singkat dan maut semakin dekat. Kerisauan semakin bermain di fikiran. Mungkin esok, mungkin lusa aku pula akan dipanggil.
Kematian sahabatku Ekhwan Hassan dan Abahku telah memberikan impak yang begitu. Bukan aku tidak dapat menerima Qada’ dan Qadar, tetapi aku membayangkan diri aku di masa akan datang. Sebab aku begitu mengenali mereka berdua. Jadi kesannya memang lain daripada kematian orang yang tidak aku kenali. Adakah semua orang mempunyai rasa yang sama dengan aku?
Ya kesannya memang sangat kurasai dan mendalam. Aku banyak mengalami mimpi tentang mereka berdua semenjak kematian mereka. Aku banyak mengingati ksemua kenangan-kenangan yang telah aku tempuhi bersama mereka semasa mereka masih hidup. Kepada Ekhwan Hassan, sahabatku semenjak zaman kanak-kanak dan Mohd Salleh Bin Sulaiman, abahku semoga kalian berada dalam keadaan sejahtera di alam sana. Al-Fatihah.
Jadi bagaimanakah jika ianya giliran aku? Bagaimanakah aku di sana nanti? Itu semua tidak dapat aku ketahui sedang entry ini ditulis. bagaimana orang-orang yang aku tinggalkan. Bagaimana rumah, harta, ibu, saudara mara, sahabat handai, customer, kenalan malah akaun facebook aku? Hmm, bercakap tentang facebook, bagaimana jika seseorang itu mati ya? Apakah akaun facebooknya akan terus aktif sampai bila2? Akaun arwah sahabat aku nampaknya masih ada dan boleh diakses/komen setakat ini. Bagaimanakah aku ingin diingati selepas aku mati? Apakah orang akan banyak tersenyum atau menangis jika teringatkan aku kelak? Itu pun jika ada yang mengingati. Bagaimana jika aku tidak diingati? Siapa yang hendak menyedekahkan Al-Fatihah untukku? Siapa yang akan sudi datang untuk kenduri tahlil aku? Siapa yang akan memandikan mayatku? Siapa yang akan sudi menyembahyangkan jenazahku? Siapa yang akan mengusung jenazahku ke dalam van jenazah? Siapa yang akan berada di dalam lubang kubur untuk menyambut mayatku dengan cermat supaya tidak terjatuh nanti. Itu semua banyak bermain dalam lubuk fikiran ini…
Paling penting adalah apa yang aku akan tinggalkan. Aku harap selama ini aku tak menyakiti hati sesiapa sama ada secara sengaja atau tidak. Aku harap dapat meninggalkan ingatan yang baik2 pada semua yang mengenali diri ini. Aku harap semua akan tersenyum bila mendengar nama Mohd Shahir. Dan ikhlas mendoakan kesejahteraan aku di alam akhirat kelak. Sejenak aku terfikir. Mengapa kita tidak mulakan dari sekarang? Kalau teringat akan sesiapa sama ada yang masih hidup atau telah mati kita terus doakan dia. Mengapa mesti menunggu seseorang itu telah mati? Mungkin dengan cara ini kita dapat mengurangkan permusuhan, keegoan, kecemburuan dan pelbagai lagi ingatan yang negatif terhadap seseorang. Dengan mengingati bahawa bila-bila masa sahaja kita akan pergi, semua kepentingan diri akan lenyap secara automatik. Yang tinggal hanyalah keinginan untuk menambah bekalan amalan, menjalin silaturrahim sesama insan, berbelas kasihan sesama makhluk dan memperbaiki sikap kita kepada yang lebih baik. Mungkin terlalu sukar untuk lakukannya secara total, tetapi biarlah palik tidak pun kita jadi lebih baik hari ini daripada semalamnya.
Aku juga sangat takut memikirkan bagaimana Allah SWT akan memanggilku nanti. bagaimana Malaikatul Maut, Malaikat Izrail akan mencabut nyawa dari jasadku kelak? Bagaimana jika aku dipanggil saat imanku paling rendah… saat aku sedang lalai dan leka dengan kelazatan dunia yang sementara, saat aku sedang mengira-ngira harta, saat aku sedang tertawa… saat aku sedang melakukan dosa? Na’uzubillahimin zaalik. Takutnya aku memikirkan. Terbayang sekujur tubuhku yang sedang berjuang dalam sakaratul maut, tanpa dapat berbuat apa-apa kecuali berserah. Tak dapat menambah apa-apa amalan lagi. Tak dapat menerima perpisahan dengan segala apa yang telah aku kenali di alam dunia ini. Dalam keadaan panik dan ketakutan, Hanya mengharap bekalan amalan yang amatlah sedikit. Oh Tuhan, ampunilah hambamu ini…
Mungkin sebab itu kita digalakkan untuk mengingati mati. Sebab apabila kematian menjelang tiba, barulah seseorang itu akan menyesal. Namun di saat itu, tidak berguna lagi. Biarlah hendaknya kita menyesal di kala penyesalan itu masih berguna. Biarlah penyesalan itu dapat memberikan bekalan amalan yang lebih dan mengurangkan dosa. Kepada semua yang mengenali, harap dapat maafkan aku, dan jika tidak dapat maafkan, sekurang-kurangnya kau orang ketahuilah bahawa aku telah maafkan semuanya. Itu sahaja yang ingin aku kongsikan menjelang waktu sahur ini. Selamat menunaikan ibadah Puasa dan lain-lain dengan cemerlang. Semoga kita dapat berpisah dengan baik, dan bertemu semula di akhirat kelak dalam keadaan yang sejahtera jua. Amin.

No comments:

Post a Comment